Akan Datang!

Friday, June 8, 2012

Review: Prometheus

Sebuah filem yang agak baik dan gempak dari pengarah Ridley Scott. Mengingatkan aku kembali ke filem 1979, Alien. Itulah Prometheus, filem terbaru Ridley Scott yang sudah mula ditayangkan di pawagam bermula 6 Jun 2012. Prometheus bukan saja menandakan kembalinya Ridley Scott ke trek yang pernah mempopularkannya dulu saja, ianya lebih dari itu. Prometheus adalah tanda filem sains masih lagi menjadi idea hebat si pengarah ini. Sebuah filem wajib tonton bagi peminat drama sains fiksyen. 


Berkisar tentang kisah manusia yang cuba mencari asal usul penciptaan, filem ini nampaknya beralun alun cuba untuk lari dari sebuah sambungan filem 1979 si Ridley, Alien. Anda akan perasan yang ceritanya bergerak kejap ke kiri kejap ke kanan. Misterinya ditekan hebat, tak mampu diselak dan tiada ruang meneka diberi kepada penonton. Filem ini cuba untuk menyembunyikan idea yang menjadi elemen terpenting filem ini sehinggalah ke titisan terakhir. 

Prometheus dicanang menjadi sebuah filem yang mempunyai kaitan dengan filem Aliens. Memang jika anda menonton filem ini, Prometheus memang menampilkan cerita yang berbeza dan lain. Hanya dari seminit babak akhir filem sahaja memberi kejutan tersebut. Memang aku rasakan garapan plot cerita ini agak terperinci dari segenap sudut sehinggakan misterinya terungkai dengan kejutan yang mengagumkan. 


Pada yang gemar aksi, aku cadangkan tak payah nak menonton filem ini. Jangkaan anda pastinya meleset kerana filem ini adalah lebih kepada drama pengembaraan sains fiksyen. Filem ini memang sarat dengan drama yang mencemaskan. Namun begitu, filem ini tidaklah membosankan kerana setiap patah kata memang dinukil hebat untuk membuka setiap misteri dalam filem ini. Malah, aku rasakan kekuatan skrip filem ini cukup untuk membuatkan penonton ternanti nanti ssetiap misteri yang menyelubungi planet yang mereka singgah, dan juga misteri kisah sebenar Prometheus. 


Pandangan aku, jujurnya aku suka karya ini. Ridley Scott bijak menggarap cerita ini sebaiknya. Al maklumlah, ini kan ceritanya. Setiap inci filem ini diisi dengan misteri dan juga syak wasangka yang bijak dan mengelirukan. Watak David dikembangkan dengan kejutannya tersendiri. Malah, watak Holloway dan Shaw yang dibina juga punya kejutan yang tersendiri. Hebatnya juga watak Vickers lakonan Charlize Theron juga kerana binaannya yang sentiasa menyimpan rahsia. Banyak lagi kejutan kejutan yang disimpan sehinggalah anda menonton filem ini. 

Dengan cerita yang pantas dan straight to the point, Prometheus tidak memberikan peluang untuk penonton menunggu lama untuk mengalami misteri di planet asing itu. Dengan hanya beberapa minit saja, penonton dibawa ke planet tersebut. Insiden demi insiden berlaku. Setiap adegan yang diberikan memberikan peluang untuk penonton meneka, tapi malangnya sukar untuk menjangkakan apa yang berlaku kepada setiap krew kapal Prometheus ini. 


Elemen biasa filem sains fiksyen juga diserap masuk dalam filem ini. Namun, anda perlu ingat, ini filem gaya Ridley Scott. Pastinya pengarah ini menjadikan filem Prometheus ini sebuah trademark Ridley yang cuba untuk membawa penonton kembali kepada filem 1979nya yang dahulu. Beberapa karakter Aliens yang dijadikan bahan untuk membunuh beberapa karakter memang menjijikkan dan luar biasa. 

CGI yang cantik dan kemas juga satu ciri hebat filem ini. Setiap visual nampak cukup meyakinkan. Adegan akhir filem ini, yang menunjukkan kapal ‘manusia asing’ jatuh ke tanah nampak begitu mencemaskan dan memberi keterujaan kepada penonton. 


Noomi Rapace sebagai Elizabeth Shaw, sebuah lakonan yang sempurna. Logan Marshall-Green sebagai Charlie Holloway sebuah kejutan yang mengejutkan. Tidak aku sangkakan wataknya akan dijadikan sebegitu rupa. Charlize Theron yang bermisteri semestinya mengundang tanda tanya walaupun penampilannya kurang dalam filem ini. Secara peribadinya, aku rasakan Michael Fassbender adalah karakter yang menyerlah dan persembahan yang hebat. 

Jujurnya secara peribadi, Prometheus sampai ke tahap yang aku mahukan. Tak rugi menonton kerana kisah anak kapal Prometheus ini memang sebuah adventur yang hebat. Ternyata di akhir filem ini, Ridley Scott meninggalkan satu talian tanpa penamat yang mungkin menjanjikan sebuah sekuel kepada filem ini. Apapun, sekali lagi aku kata, filem ini wajib tonton bagi peminat sains fiksyen. Sudah menonton filem ini di GSC Mid Valley, tayangan jam 4 petang pada 7 Jun 2012 di Hall 16. 

4/5

2 comments:

misyamissyou said...

aaa tak berpeluang lagi...nanti kot..huhuu

Anonymous said...

Kurangnya penekanan terhadap watak, menyebabkan saya kurang suka film ini. Bnyk perkara pelik yang dilakukan oleh watak tanpa sebab

Review: Kingsman 2 - The Golden Circle (2017)

Tahun Terbit | 2017 Pengarah | Matthew Vaughn Pelakon | Colin Firth, Taron Egerton, Julianne Moore, Halle Berry Tak banyak filem ...